SELAMAT DATANG DAN AHLAN WASAHLAN



SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG SK BATU LAYAR
اهلا وسهلا ومرحبا بكم الي مجالنا الإنترنيت
WELCOME TO OUR SITE

Dapatkan info-info terkini dari sekolah kami dan buat guru-guru yang bakal ditempatkan di sekolah ini, kami ucapkan selamat bertugas. Kami memerlukan anda !!!! Kami memohon maaf kerana blog ini masih dalam proses penyelenggaraan...Insya-Allah akan dinaiktaraf dalam masa terdekat.

KAMI MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA PADA 16 SEPTEMBER 2012 INI.

Saturday, November 3, 2012

PERKHEMAHAN UNIT BERUNIFORM 2012

2 - 3 NOVEMBER 2012





 Bertempat di SK Batu Layar Banggi telah berlangsung perkhemahan Unit Beruniform melibatkan Persatuan Pengakap  dan Persatuan Bulan Sabit Merah. Perkhemahan yang julung-julung kali diadakan ini merupakan satu titik tolak mengaktifkan unit beruniform yang terdapat di sekolah-sekolah daerah Banggi. Dalam perkhemahan kali ini, antara aktiviti yang dijalankan ada untuk menganugerahkan kelulusan lencana keahlian kepada ahli pengakap serta memberi pengalaman kepada mereka tentang cara-cara memasang khemah.

Antara aktiviti yang telah dijalankan adalah sistem stesen, sayang si buta dan pada pagi Sabtu acara d'bris dijalankan iaitu gotong-royong sepanjang perjalanan sekolah ke Perumahan Agropolitan. Ini adalah sebagai tanda khidmat masyarakat di peringkat awal lagi. Perkhemahan kali ini dirasmikan penutupannya oleh Encik Ibrahim Basiri Penyelia Pelajaran Banggi. Antara pemimpin yang turut sama membantu aktiviti kali ini iaitu En. Faisal bin Jikal Pesuruhjaya Daerah Banggi dan En. Zaini Etong Ahli Majlis Pengakap Daerah Kudat.

Tuesday, October 23, 2012

KEM MEMBACA 1MALAYSIA

23 OKTOBER 2012

Sekitar Kem Membaca 1Malaysia peringkat SK Batu Layar Banggi





Saturday, October 20, 2012

SAMBUTAN 90 TAHUN PENGAKAP KUDAT

 19 - 20 OKTOBER 2012

Bertempat di SMK Kudat II telah berlangsung Sambutan Ulangtahun 90 tahun Pengakap Kudat yang melibatkan semua ahli pengakap seluruh Kudat dan Banggi. Buat pertama kalinya, Banggi yang diketuai Pesuruhjayanya En. Faisal Jikal telah menghantar perwakilan seramai 10 pengakap kanak-kanak dan 7 orang pemimpin. 8 pkk dari SK Lok Tuhog dan 2 pkk dari SK Batu Layar. Dalam sambutan tersebut, semua ahli telah berkhemah di padang SMK Kudat II dengan cabaran hujan yang berpanjangan, namun semuanya berjalan lancar. Program yang sepatutnya dijalankan di Dataran Tomborungus dibatalkan akibat hujan seawal pagi sabtu lagi. Akhirnya, sambutan dirasmikan oleh YB Datuk Teo Chee Kang, ADUN N2 Tanjung Kapor Kudat. Seramai 600 pengakap berkumpul untuk meraikan sambutan tersebut. Panorama boleh dilihat di sini.
PERWAKILAN BANGGI

PERWAKILAN SEKOLAH

Saturday, September 8, 2012

KLINIK KECEMERLANGAN UPSR 2012

4 - 7 September 2012

Seperti di tahun-tahun yang sudah, sekolah telah mengadakan program kecemerlangan UPSR yang dianjurkan bersama Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di bawah FELCRA Berhad. Ini adalah sebagai pecutan akhir disamping memastikan kesdiaan 100% murid dalam menghadapi peperiksaan terbesar peringkat rendah pada minggu hadapan. Program kali ini sebagai penguat bukan pembaharuan dalam telnik dan cara menjawab dalam peperiksaan, bahkan ia bertindak selaku penyegaran semula terhadap apa yang mereka perolehi daripada berbagai klinik motivasi di luar sekolah. Bukan itu sahaja, klinik kali ini diselitkan dengan aktiviti kerohanian seperti solat hajat dan tazkirah buat murid tersayang.

Penutupan klinik kali ini disempurnakan oleh En. Jabar bin Tomin Pegawai Penyelaras FELCRA yang sepatutnya disempurnakan oleh YB Datuk Abdul Mijul Hj Unaini  ADUN N1 Banggi. Namun beliau mempunyai komitmen urusan luar yang lebih penting untuk kepentingan warga Banggi. Sejumlah 38 peserta menyertai klinik kali ini dengan turut disertai oleh 3 orang murid dari SK Karakit Banggi. Semoga murid-murid dapat mengharungi peperiksaan yang bakal tiba dengan harti yang tenang dan jiwa yang bersih agar dapat menjadi kebanggaan ibu bapa dan guru. Gambar-gambar boleh dilihat di facebook kami






Monday, July 30, 2012

PERADUAN TEKA SILANG KATA PENDIDIKAN ISLAM

23 JULAI 2012

Bersempena dengan ketibaan bulan Ramadhan yang mulia ini, Panitia Pendidikan Islam telah mengadakan satu peraduan teka silang kata Pendidikan Islam yang berlangsung selama sehari. Peserta adalah terbuka semua murid-murid di tahap 2. Peraduan kali ini telah menarik hampir 30 penyertaan dari tahun 4 hingga 6. Pertandingan yang dihakimi oleh Ketua Panitia Pendidikan Islam SK Batu Layar Ustz. Aisah Gafar bersama Penolong Kanan Kokurikulum Cg. Armas Malanu telah menutup tirainya pada 24 Julai 2012 tepat jam 12.50 petang.

Berikut adalah keputusan pertandingan tersebut :
Johan          - Nortina bt Jaid
Naib Johan  - Nurul Amirah bt. Frasil
Ketiga         - Mohd Alfi bin Suhaili

Seramai 5 orang murid lagi telah berjaya menggondol hadiah saguhati yang diberikan oleh pihak penganjur. Semoga peraduan ini akan mencambahkan minda anak-anak didik SK Batu Layar. Maklumat lanjut boleh dilihat di laman Panitia Pendidikan Islam.( Lihat )

Wednesday, July 11, 2012

SENAMROBIK 1M1S1M

10 JULAI 2012

Satu program Kementerian Pelajaran Malaysia telah diadakan di sekolah di Malaysia termasuk di Banggi. SK Batu Layar Banggi turut tidak ketinggalan mengadakan Senamrobik 1Malaysia yang diadakan serentak seluruh Malaysia pada hari ini bermula jam 7.30 pagi selama 35 minit. Acara yang disertai kira-kira 160 orang murid sekolah ini termasuk guru-guru dan staf sekolah telah dirasmikan oleh Guru Besar. Selepas acara senamrobik, beberapa aktiviti sukan dijalankan untuk mengisi masa sebelum jam 10 pagi seperti bola sepak, bola jaring dan aktiviti berpengakap. Acara seperti ini amat baik diadakan kerana dapat memupuk semangat perpaduan dan kesihatan kepada setiap warga sekolah di seluruh Malaysia.



Thursday, June 21, 2012

KEJOHANAN BOLA SEPAK SEKOLAH RENDAH ZON BANGGI

20 - 21 JUN 2012

Bertempat di Padang SK Batu Layar telah berlangsung satu acara Kejohanan Bola Sepak Sekolah Rendah anjuran Unit Kokurikulum PPD Banggi. Kejohanan pertama kali ini diadakan selama 2 hari dengan penyertaan 7 buah sekolah dan menampilkan 8 pasukan. Antara pasukan yang menyertai adalah SK Padang A dan B, SK Lok Tuhog, SK Limbuak, SK Karakit, SK Balambangan, SK Laksian dan tuan rumah SK Batu Layar. Perlawanan berlangsung dengan sistem 7 sebelah menampilkan murid-murid sekolah rendah yang akan dpilih bagi mewakili Zon Banggi pada 2013 bagi mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada awal tahun ini.

Menurut penyelaras Cikgu Rasad Sadikir, ada kemungkinan kejohanan susulan akan diadakan pada hujung tahun ini kerana sambutan yang agak memuaskan. Kejohanan kali pertama ini dijuarai oleh SK Karakit yang menewaskan SK Balambangan dengan jaringan 2-1 diakhir-akhir minit masa tambahan pada perlawanan akhir lewat petang hari ini. Tempat ketiga pula dimenangi oleh SK Limbuak yang menang tanpa bertanding selepas ketidakhadiran pasukan SK Laksian pada waktu pertandingan. Kejohanan yang berakhir kira-kira jam 6.00 petang itu telah disempurnakan perasmian penutupannya oleh Guru Besar SK Batu Layar Banggi Cikgu Asmun bin Amut.

Pasukan tuan rumah


Wednesday, May 23, 2012

MESYUARAT AGUNG PIBG 2012

24 MEI 2012



Bertempat di Dewan SK Batu Layar Banggi, telah berlangsung Mesyuarat Agung PIBG yang bermula kira-kira jam 8.00 pagi. Mesyuarat tersebut adalah bagi pembentukan jawatankuasa yang baru bagi sesi 2012-2014 dan pembubaran jawatankuasa 2010-2012. Bermula dengan bacaan doa, mesyuarat yang dihadiri hampir 70 orang ibubapa dan guru ini telah berjalan lancar. Pembubaran jawatankuasa lalu telah dilakukan oleh Yang Di-pertuanya iaitu Encik Moluddin bin Maliwat.

Antara agenda mesyuarat kali ini adalah berkenaan keselamatan murid-murid yang datang dari kampung-kampung terdekat seperti Agropolitan, Lumais, Batu Layar dan Timbang Dayang. Setiap kampung ini telah dilantik AJK Keselamatan bagi memantau pergerakan murid-murid dari sekolah ini yang berasal dari perkampungan tersebut. Di samping itu, perbincangan mengenai masalah disiplin murid turut dibahaskan bersama ibu bapa dan guru-guru.

Mesyuarat yang mengambil masa kira-kira 2 jam ini telah menutup tirainya dengan pengumuman AJK baru yang akan memimpin PIBG bagi sesi 2012-2014. Antaranya ialah :

Yang Dipertua ( En. Erin bin Abdullah )
Timb. YDP ( En. Moluddin bin Maliwat )
Setiausaha ( Pn. Wellin Esada )
Timb. SU ( Pn. Faridah bt. Kisah )
Bendahari ( Pn. Monalinda Mohammarun ) ( En. Abd Wahab Elin )
Serta ajk-ajk kecil yang lain

Tuesday, May 22, 2012

KEJOHANAN SEPAK TAKRAW TERBUKA BANGGI 2012

19 Mei 2012

Bertempat di gelanggang serbaguna Kg. Batu Layar Banggi, sedang berlangsung satu kejohanan Sepak Takraw Terbuka Banggi yang dianjurkan oleh SK Batu Layar Banggi. Kejohanan yang sudah memasuki hari keempat ini menyaksikan 11 buah regu berentap untuk merebut kejuaraan pada kejohanan pada tahun 2012. Pihak sekolah menjemput semua untuk menyaksikan perlawanan yang hebat antara regu-regu di gelanggang tersebut yang terletak berdekatan dengan dewan Kg. Batu Layar Banggi.

Sunday, May 6, 2012

FINAL KEJOHANAN BOLA SEPAK 7 SEBELAH

2 MEI 2012


Kejohanan Bola Sepak 7 Sebelah anjuran SK Batu Layar dengan kerjasama Yayasan Sabah Kudat yang berlangsung hampir sebulan telah melabuhkan tiranya pada hari ini. Kejohanan kali ini sekali lagi menemukan finalis tahun lepas iaitu Bobog FC (SK Padang) melawan LTG FC. Namun keputusan kali ini tidak lagi memihak kepada pasukan LTG FC yang pernah menewaskan Bolbog FC dengan jaringan 2-0 pada 2011. Pada 2012, ia adalah giliran Bolbog FC membalas dendam dengan jaringan yang lebih besar iaitu 5-0. Kemenangan ini sekaligus mengangkat Bolbog FC menerima beberapa anugerah iaitu pasukan terbaik, pemain terbaik kejohanan dan penjaga gol terbaik.

Manakala tempat ke 3 dirangkul oleh pasukan Perantau FC yang telah menewaskan Pasukan Lok Tuhog Team dengan jaringan 3-0. Penutupan kejohanan kali ini disempurnakan oleh Guru Besar SK Batu Layar Banggi disusuli dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang.

Friday, February 24, 2012

MAULIDUR RASUL 1433/2012 PERINGKAT BANGGI

24 Februari 2012
Bertempat di Padang SK Lok Tuhog dan Dewan Lok Tuhog Banggi, telah berlangsung majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah Banggi sesi 2012. Seperti biasa, sekolah tidak akan ketinggalan untuk menyertai sambutan ini terutama dalam pertandingan sepanduk yang sudah sekian kali menjadi tradisi sekolah ini. Seperti yang dijangkakan, sekolah sekali lagi menggondol kejuaraan yang dimenangi tahun lepas dengan SK Karakit ditempat kedua dan SK Limbuak tempat ketiga.

Sambutan yang dirasmikan oleh YB Datuk Abd Mijul Hj Unaini, yang juga merupakan ADUN N1 Banggi ini telah diserikan lagi dengan pertunjukan nasyid dan ceramah khas daripada USIA Sabah. Sekitar jam 11 pagi sambutan tamat dengan jayanya selaras dengan peringatan kita untuk meningkatkan kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

Thursday, February 16, 2012

PERTANDINGAN BERCERITA MTQ 2012 PERINGKAT SEKOLAH

15 Februari 2012

Bertempat di Kelas Tahun Satu SK Batu Layar Banggi, telah berlangsung satu pertandingan bercerita kisah-kisah Al Quran yang dianjurkan oleh Panitia Pendidikan Islam & jQAF SK Batu Layar. Pertandingan ini dianjurkan sempena Majlis Tadarus Al Quran yang sedang berlangsung diseluruh negara pada ketika ini. Panitia mengambil inisiatif memilih wakil untuk ke peringkat daerah walaupun dalam satu acara sahaja.

Pertandingan ini disertai oleh 19 orang peserta yang kesemuanya dari tahap 2. Pelbagai gelagat dan persembahan dari murid dapat disaksikan dalam pertandingan kali ini. Acara yang tamat sekitar jam 12 ini telah dihakimi oleh 3 orang juri profesional iaitu Pn Aisah Hj Gafar, Pn Fatimah Jaimah Amarun dan Pn Sabahiah Abd Karim. Berikut adalah keputusan pertandinagn tersebut :

Kategori Lelaki
Johan - Halifatul Muslimin Annuar
Naib Johan - Jainuddin Annuar
Ketiga - Mohd Hakimi Mohd Kamal

Kategori Perempuan
Johan - Mas Amirah bt. Masrin
Naib Johan - Nursyahirah bt. Nulkasim
Ketiga - Nurul Amirah bt. Frasil

Tuesday, January 3, 2012

HARI PERTAMA PERSEKOLAHAN

4 JANUARI 2012

Tahun 2011 telah melabuhkan tirainya dan 2012 membuka lebarannya. Persekolahan bermula dengan cuaca yang redup dan sedikit hujan tapi semua pelajar hadir ke sekolah dengan penuh semangat dan ceria. Para guru turut sibuk menyediakan pelajar, kelas dan bahan-bahan pengajaran. Seperti kebiasaan, ada saja pelajar tahun 1 yang akan menangis kerana berpisah dengan ibu bapa di hari pertama persekolahan mereka. Akan tetapi kali ini menunjukkan sedikit kelainan apabila pelajar lebih berani. Ini mungkin disebabkan mereka telah biasa ketika berada di pra sekolah dahulu. Semoga sesi persekolahan 2012 menjanjikan suatu perjalanan P&P yang baik selaras dengan visi sekolah "KUALITI DITINGKATKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN"