SELAMAT DATANG DAN AHLAN WASAHLAN



SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG SK BATU LAYAR
اهلا وسهلا ومرحبا بكم الي مجالنا الإنترنيت
WELCOME TO OUR SITE

Dapatkan info-info terkini dari sekolah kami dan buat guru-guru yang bakal ditempatkan di sekolah ini, kami ucapkan selamat bertugas. Kami memerlukan anda !!!! Kami memohon maaf kerana blog ini masih dalam proses penyelenggaraan...Insya-Allah akan dinaiktaraf dalam masa terdekat.

KAMI MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA PADA 16 SEPTEMBER 2012 INI.

Friday, November 18, 2011

KEJOHANAN BOLA SEPAK 7 SEBELAH ZON BANGGI

18 NOVEMBER 2011

Bertempat di padang SK Batu Layar, kejohanan yang berlangsung hampir 3 minggu telah melabuhkan tirainya. Perlawanan akhir yang berlangsung antara Lok Tuhog FC dan SK Padang berlangsung sengit dan kemenangan berpihak pada pasukan Lok Tuhog. Kedudukan tempat ke-3 disandang oleh pasukan tuan rumah iaitu Batu Layar A apabila mereka menewaskan pasukan Asal Ada. Terlebih dahulu di suku akhir, pasukan tuan rumah kedua iaitu Batu Layar B tewas kepda pasukan naib juara tahun ini. Pasukan sekolah pula telah ditewaskan oleh pasukan Lok Tuhog yang merupakan pertemuan kedua mereka dan kekalahan kedua mereka selepas pertemuan akhir di Kejohanan di Karakit pada 3 bulan yang lalu. Gambar di atas adalah ketika pasukan tuan rumah (jersi hitam) menentang pasukan jiran Limbuak A.

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN SEKOLAH 2011

16 NOVEMBER 2011
Seperti kebiasaannya pada tahun-tahun lalu,sekolah telah mengadakan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah yang bertujuan meraikan kecemerlangan murid-murid SK Batu Layar dalam peperiksaan akhir tahun merangkumi banyak aspek. Dalam majlis tersebut, beberapa anugerah seperti anugerah setiap kelas, setiap subjek, anugerah Kokurikulum, Kehadiran terbaik dan ibu bapa prihatin telah diberikan kepada para penerima.

Tokoh Pelajar tahun ini disandang oleh adik Ernani Jakrin kerana berjaya menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang berada di sekolah ini. Majlis juga diserikan dengan persembahan pakkiring dan persembahan pelajar pra sekolah. Majlis yang berakhir kira-kira jam 11 ini juga menyelitkan Konvokesyen Pra Sekolah kali ke-2.

Saturday, November 12, 2011

KEM BESTARI SOLAT TAHUN DUA & TIGA 2011

9 November 2011

Bertempat di SK Batu Layar,sekali lagi program Kem Bestari Solat diadakan oleh Panitia Pendidikan Islam & JQAF sekolah. Cuma kali ini ia melibatkan tahun 2 dan 3 sebagai kesinambungan kepada kem-kem yang telah mereka lalui sebelum ini. Fasilitator yang bertugas pada kali ini adalah 4 orang guru pendidikan Islam dan jQAF serta 2 orang guru akademik iaitu Penolong Kanan Kurikulum Cg Monalinda dan Cg Fatimah Jaimah.

Program kali ini lebih ringkas dan menambah kemahiran sedia ada pelajar. Kem yang bermula seawal jam 8 itu berakhir dengan ucapan penutupan oleh Guru Besar Cg Asmun bin Amut dengan penyampaian hadiah dan cenderakenangan kepada murid dan fasilitator.

Wednesday, October 19, 2011

KEJOHANAN BOLA SEPAK SEKOLAH RENDAH ZON BANGGI

12-13 Oktober 2011

Bertempat di SK Batu Layar, satu kejohanan bola sepak 7 sebelah anjuran sekolah yang melibatkan beberapa buah sekolah berdekatan antaranya SK Padang, SK Karakit, SK Lok Tuhog, SK Laksian dan SK Limbuak. Anjuran ini merupakan pemilihan peringkat zon Banggi bagi murid-murid yang mampu diketengahkan di peringkat bahagian kelak. Kejohanan yang mengambil masa 2 hari ini berlangsung seawal pagi sehingga kira-kira jam 6 petang. Kejohanan pada kali ini telah diadakan secara kumpulan kemudian menemukan pasukan di separuh akhir dan akhir.

Kejohanan tersebut telah menemukan pasukan SK Padang melawan tuan rumah SK Batu Layar dalam penentuan kejuaraan. Perlawanan berakhir seri tanpa sebarang jaringan namun nasib lebih berpihak kepada pasukan SK Padang apabila memenangi perlawanan melalui penentuan sepakan penalti. Perasmian penutupan telah dilakukan oleh Tn. Ibrahim Basiri Penyelia Pelajaran Daerah Banggi dengan penyampaian hadiah kepada pasukan-pasukan yang bertanding.

Wednesday, October 5, 2011

KEM BESTARI SOLAT TAHUN SATU 2011

5 Oktober 2011
Bertempat di Kelas Tahun Satu SK Batu Layar telah berlangsung aktiviti tahunan Panitia Pendidikan Islam & jQAF sekolah iaitu Kem Bestari Solat yang melibatkan murid tahun 1 sekolah ini. Seperti biasa murid akan diajar cara asas berwuduk dan solat dengan betul seperti yang diajarkan dalam kelas perdana. Seawal jam 8.00 pagi,murid dibawa menyaksikan tayangan video tentang cara wuduk dan solat kemudian dibahagi kepada 5 kumpulan yang diketuai oleh seorang fasilitator. Antara fasilitator yang terlibat adalah guru Pendidikan Islam Ustz. Aisah Gafar, Ustz. Duratul Firdaus, guru jQAF ust Rosman Hussain dan Ust. Mohd Haafiz. Turut dijemput adalah guru kelas tahun satui Cikgu Fatimah Jaimah. Kem yang berakhir pada jam 2 petang telah disempurnakan oleh guru besar dengan penyampaian sijil dan hadiah galakan kepada peserta. Harapan agar kem ini akan membuka minda anak-anak untuk mengamalkan segala yang telah mereka pelajari selama ini.

Tuesday, September 6, 2011

PROGRAM MUTIARA KASIH 2011

23-25 Ogos 2011 Bertempat di SK Batu Layar,satu program mega yang dianjurkan secara bersama oleh pihak Kementerian Luar Bandar dan Wilayah, FELCRA,JPN,PPD Kudat dan pihak sekolah telah berlangsung selama 3 hari 4 malam di bulan puasa yang mulia ini. Program yang diadakan ini disertai secara khusus oleh pelajar tahun 6 sekolah ini disamping peserta program 14 mutiara pulau yang sedia ada. seramai 59 peserta menerima pendedahan khas daripada beberapa penggubal UPSR dan pemeriksa kertas yang didatangkan khas dari sekitar Pantai Barat Sabah.

Banyak aktiviti telah dijalankan dan para guru telah bertungkus lumus bagi memastikan keselesaan pelajar sepanjang berada di sekolah. Solat terawih berjemaah, sungkai dan sahur bersama serta tazkirah subuh antara acara yang berlangsung bersama selama 3 hari program berlangsung. Semoga program ini akan menjadi pemangkin kepada kejayaan pelajar dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan UPSR tahun 2011.

Tuesday, August 23, 2011

IHYA RAMADHAN

22-23 Ogos 2011

Bertempat di SK Batu Layar beberapa program kemasyarakatan telah diadakan demi memeriahkan suasana Ramadhan dan Hari Raya yang bakal menjelma. Antara program itu ialah membakar sate beramai-ramai yang disertai oleh para guru dan staf sekolah. Hasil panggangan diagihkan kepada pada guru sendiri dan juga peserta program Mutiara Kasih yang secara kebetulan menjalankan program mereka di sekolah.

Pada hari berikutnya pula, satu program pengagihan bubur lambuk 1Pulau 1Malaysia telah diadakan bermula seawal jam 8 pagi dengan para guru wanita bertungkus-lumus menyiapkan bubur sebanyak 4 periuk besar yang memuatkan lebih 200 bungkus bubur lambuk. Pada jam 4 petang kemudian, pihak sekolah diketuai guru besar mula mengagihkan bubur yang siap kepada para pengguna jalan raya utama di hadapan sekolah. Semoga acara ini akan dapat diadakan lagi pada masa akan datang dengan tujuan merapatkan ukhuwah antara pihak sekolah dengan masyarakat luar khususnya.

Thursday, July 28, 2011

PERLAWANAN PERSAHABATAN PUSINGAN PERTAMA SK BATU LAYAR VS SK LIMBUAK

28 Julai 2011

Bertempat di padang SK Batu Layar Banggi telah berlangsung satu perlawanan persahabatan pusingan pertama antara pasukan sekolah menentang pasukan SK Limbuak. Perlawanan yang tertangguh hampir 2 minggu ini akhirnya telah berjaya dilangsungkan pada jam 3.30 petang dengan disaksikan oleh beberapa guru dan murid-murid yang turut datang memberikan sokongan. Perlawanan bermula dengan agak seimbang dengan kedua-dua pasukan mengasak kubu lawan masing-masing, hasilnya pada minit ke 12, Arman Alban dari pasukan sekolah telah membolosi gawang SK Limbuak. Walaubagaimanapun pada akhir-akhir minit separuh masa pertama, pasukan pelawat berjaya menyamakan kedudukan. Separuh masa kedua tampak kedua-dua pasukan agak keletihan dan akhirnya pada minit ke-15 pasukan sekolah berjaya meraih kemenangan dengan jaringan sendiri dari pihak lawan hasil dari umpanan Ruslee Saiduna. Dengan ini sekolah akan bertandang ke SK Limbuak, berbekalkan kemenangan 2-1.

dari kiri ; Muliadi,Ruslee,Natanael,Maslan,Asrul
duduk ; Jasrun,Arjun,Arman,Azri

Wednesday, July 27, 2011

LAWATAN MAJLIS GURU BESAR RANAU

27 Julai 2011

Selang beberapa hari kemudian selepas lawatan oleh Program 14 Mutiara Pulau, sekolah sekali lagi dilawati oleh rombongan yang mana pada kali ini lebih besar daripada Majlis Guru Besar Daerah Ranau dan Kudat. Seramai 27 orang peserta berkampung selama hampir 2 jam di sekolah untuk meninjau persekitaran dan melawat segala fasiliti yang terdapat disekolah di samping berkongsi tips-tps2 dan teknik untuk memperkasakan program P&P di sekolah.

Rombongan yang telah melawar SK Karakit dan SK Lok Tuhog sebelumnya telah dibawa ke Pra Sekolah untuk majlis ramah mesra dan ucapan serta tayangan profail sekolah. Rombongan kemudiannya dijamu dengan juadah ruji Batu Layar khasnya dan Banggi amnya yang telah mencipta kenangan indah bagi para peserta rombongan yang mungkin baru pertama kali merasai 'putu'. Semoga dengan lawatan yang mengujakan ini akan menambah semangat mahabbah dan silaturrahmi antara pihak sekolah dan pihak luar dalam usaha membanting tenaga membangun modal insan.

LAWATAN PESERTA PROGRAM 14 MUTIARA PULAU

14 Julai 2011

Bertempat di SK Batu Layar, satu lawatan sambil belajar telah dilakukan oleh pihak program UPSR 14 Mutiara Pulau yang berpusat di SK Karakit. Lawatan yang membawa kira-kira 40 orang termasuk pelajar dan pengiring guru telah dibawa oleh pihak sekolah melawat sekitar bangunan dan fasiliti seperti bangunan sekolah, Pusat Sumber, Kelas Permata Baru, Bilik ICT dan banyak lagi. Akhir sekali rombongan yang diketuai oleh En. Asung, Guru Besar SK Karakit merangkap Pengerusi Program telah dibawa ke kelas tahun 6 untuk menyaksikan tayangan berkaitan dengan sekolah ini. Semoga lawatan kali ini akan dapat memberi gambaran dan ketenangan kepada pelajar program khususnya agar mereka dapat menempuh peperiksaan UPSR yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Friday, July 1, 2011

LARIAN 1MURID 1SUKAN 1MALAYSIA

2 Julai 2011
Menyahut seruan Kementerian Pelajaran yang ingin memecahkan Malaysian Books Of Record, SK Batu Layar turut mengambil bahagian dalam acara larian yang diadakan serentak peringkat kebangsaan seluruh negara pada hari ini iaitu 2 Julai tepat pada jam 7.45 pagi. Larian ini diadakan di semua institusi pendidikan negara dan mengikut laporan berita kira-kira 4.1 juta pelajar seluruh negara menyertai larian ini.

Program di sekolah dimulakan dengan senaman ringan dan renggangan sebelum larian sejauh 1.5 KM mengambil tempat. Tepat sahaja jam menunjukkan 7.45 pagi, pelancaran larian telah dijalankan oleh Guru Besar En Asmun Amut dengan 2 orang murid membawa sepanduk. Selepas acara larian, sekolah telah mengadakan aktiviti gotong-royong

Thursday, June 23, 2011

KLINIK UPSR SK BATU LAYAR 2011

21-23 JUN 2011Bertempat di SK Batu Layar, satu program Klinik UPSR telah dijalankan dengan gabungan anjuran pihak sekolah bersama Yayasan Sabah Kudat. Program ini menjadi acara tahunan sekolah cuma pada kali ini, ia telah melibatkan bajet besar dengan jemputan 2 sekolah lain berdekatan iaitu SK Lok Tuhog dan SK Limbuak. Program ini berjalan selama 3 hari bermula pada petang hari selasa yang menyediakan pendaftaran dan ice breaking kepada para peserta.
Pada hari kedua, sesi ceramah dan klinik teknik menjawab soalan UPSR bermula dengan subjek Sains yang disampaikan oleh Cg. Frasil Lahuddin dari SK Lok Tuhog. Sesi kemudian diteruskan dengan klinik subjek Bahasa Malaysia yang disampaikan oleh jurulatih daerah Cg. Ahmad nasrun dari SK Suangpai. Manakala pada sebelah petangnya pula, cerama Matematik telah disampaikan oleh Cg. Rahman, yang juga jurulatih daerah dari SK tun Mustapha.

Pada hari terakhir, sesi ceramah masih diteruskan dengan subjek Bahasa Inggeris yang disampaikan oleh Cg. Liasin dari SK Tinangol, merupakan Jurulatih daerah. Selain daripada ceramah subjek,2 slot ceramah motivasi telah diisi oleh pegawai yayasan Sabah Kudat, En. Jikim Rumangun dan Cg. Dikson dari SMK Banggi.

Penutupan program kali ini menampilkan kelainan apabila sekolah menjemput YB Abd Mijul Unaini sebagai tetamu kehormat seterusnya merasmikan majlis kali ini. Lebih menyerikan majlis dengan persembahan koir dan pakiring oleh pelajar sekolah sambil menyanyikan lagi '1malaysia' bersama para hadirin. majlis berakhir kira-kira jam 2.00 petang dengan jayanya. Maklumat lanjut serta gambar-gambar boleh dilihat di facebook sekolah.

Thursday, May 26, 2011

TAKLIMAT PROGRAM UPSR BERSAMA YAYASAN SABAH

26 MEI 2011
Bersempena dengan Program Klinik UPSR yang bakal dilaksanakan selepas cuti persekolahan semester pertama, satu taklimat staf SK Batu Layar telah diadakan bersama dengan penganjur bersama iaitu Yayasan Sabah zon Sabah yang diwakili oleh En. Jikim Rumangun. Program yang akan turut disertai oleh sekolah terdekat seperti SK Luthog yang turut dihadiri oleh Guru Besarnya En. Suhaili Ijalbrani dan dari SK Limbuak yang diwakili oleh En. Abdullah Chik dan En. Shafiq Wazzani.

Dalam taklimat tersebut telah dibincangkan tentang penetapan tarikh, pengurusan bajet kewangan dan pelantikan jurulatih dan penceramah jemputan yang berkemahiran dan berpengalaman bagi membantu pelajar tahap dua terutama tahun 6. Dengan berjalannya program ini, maka akan pasti pelajar mendapat pendedahan meluas dalam menghadapi UPSR yang bakal menemui mereka pada bulan september kelak. Akhir sekali guru-guru yang bertema 'Alam Hijau' bergambar bersama pada hari-hari terakhir persekolahan sebelum cuti bermula. Selamat bercuti diucapkan buat semua warga SK Batu Layar Banggi.

Wednesday, May 25, 2011

PERTANDINGAN KUIZ PINTAR 2011

25 MEI 2011

Bertempat di Kelas Tahun Tiga SK Batu Layar, telah berlangsung satu pertandingan kuiz pintar tahap satu dan dua yang diadakan seawal pagi lagi. Pertandingan tersebut meliputi bidang yang pelbagai dengan menyatukan 20 soalan objektif dan 20 soalan subjektif yang merangkumi subjek teras dan subjek Pendidikan Islam. Peserta yang bertanding terdiri daripada 5 kumpulan yang disertai oleh 3 orang dari tahun 1,2 dan 3. Begitu juga dengan tahap dua dengan 5 kumpulan yang terdiri di dalamnya tahun 4,5 dan 6.

Kumpulan yang dianggotai oleh Hamizah, Raisan dan Baqiah telah menjuarai pertandingan tahap 1 manakala kumpulan Noranzellah, Azbel dan Khairul Azwan berjaya muncul sebagai juara bagi kategori tahap 2. Pertandingan tersebut turut diadili oleh beberapa juri profesional seperti Cikgu Abdul Wahab, Ustazah Aisah, Cikgu Jalipah, Cikgu Fatimah dan beberapa orang lagi yang terlibat. Semoga pertandingan ini akan diteruskan pada masa akan datang dan mampu menjana minda murid serta memberi pendedahan yang sewajarnya kepadamurid dalam pertandingan.

Monday, May 16, 2011

KEJOHANAN BADMINTON BEREGU LELAKI 2011

16-17 MEI 2011



Bersempena dengan Hari Guru 2011 ini, Unit Kokurikulum SK Batu Layar telah mengadakan kejohanan Badminton Beregu Lelaki Tertutup Banggi. Kejohanan yang diadakan pada petang Isnin sehingga tengahari Selasa dengan disertai oleh 14 beregu lelaki sekitar Banggi. Kejohanan yang diadakan di Dewan Serbaguna Kg. Batu Layar ini telah disempurnakan oleh Guru Besar SK Batu Layar Encik Asmun bin Amut.

Kejohanan kali ini telah menyaksikan pertarungan hebat dan sengit beberapa beregu yang mantap dan pantas. Pada pentas akhir kejohanan, beregu German yang terdiri dari Ajilin Tawan dan Matjan Ahtan bertemu dengan beregu Lamba iaitu Encik Asmun Amut bersama Leling bin Awang dengan berkesudahan kejuaraan kepada beregu German. Tempat ketiga dimenangi oleh beregu Oxford dan keempat adalah beregu Apache Darduzz. Hadiah-hadiah disampaikan kepada pemenang oleh Guru Besar SK Batu Layar.

Sunday, May 15, 2011

SAMBUTAN HARI GURU 2011



16 Mei 2011

Sempena dengan Hari Guru yang jatuh pada hari pertama peperiksaan semester pertama dijalankan, satu majlis kecil-kecilan diadakan bagi meraikan hari yang khas buat semua warga pendidik khususnya di SK Batu Layar. Majlis yang didahului dengan ucapan penolong kanan Kokurikulum sebagai penganjur, diikuti dengan ucapan guru besar seterusnya nyanyian lagu "Guru Malaysia" oleh semua warga pendidik SK Batu Layar Banggi. Akhir sekali majlis jamuan berlangsung sebelum peperiksaan dimulakan semula.

Friday, May 6, 2011

PEPERIKSAAN SEMESTER PERTAMA

Peperiksaan semester pertama SK Batu Layar akan dijalankan pada 16 Mei - 20 Mei ini serentak dengan peperiksaan PROTIM yang akan turut diadakan ke atas pelajar tahun 5 dan 6. Peperiksaan yang bakal diadakan ini seperti biasa bertujuan menguji sejauh mana kemampuan dan kemahiran pelajar dalam semester pertama persekolahan 2011 ini dan kita harapkan agar sekolah berjaya meningkatkan prestasi berdasarkan kepada KPI dan Headcount yang telah direncanakan pada awal tahun lagi.

Wednesday, March 9, 2011

MAJLIS PERPISAHAN CIKGU JUMAT TANGKOKO

11 MAC 2011

Cikgu Jumat (paling kiri) semasa meraikan perpisahan dan sambutan hari jadi guru

Selepas hampir 4 tahun bersama akhirnya tibalah masa yang akan tiba bagi setiap guru. Satu majlis perpisahan telah diadakan buat Cikgu Jumat Tangkoko yang akan berpindah dari sekolah ini ke sekolah baru iaitu SK Lodung di Kudat. Beliau telah berkhidmat buat penempatan pertamanya kepada anak bangsa di SK Batu Layar sejak dari pertengahan 2007 telah manabur khidmat bukan sahaja kepada pelajar bahkan kepada rakan sekerja. Merupakan guru pemulihan di sekolah ini tempat beliau akan digantikan oleh Cikgu Willy yang baru berpindah dari SK Karakit. Semoga beliau akan sukses dan berjaya di sekolah baru kelak dan akan terus mengingati rakan-rakan dan pelajar di SK Batu Layar. Selamat jalan Cikgu Jumat.

Friday, March 4, 2011

KELAHIRAN BARU

26 Februari 2011

Berita menggembirakan buat staf SK Batu Layar dan seluruh warganya apabila pada tanggal 26 Februari 2011, salah seorang guru kita iaitu Cikgu Ajilin Tawan telah menimang cahaya matanya yang kedua, seorang anak lelaki. Berita ini dikhabarkan melalui khidmat pesanan ringkas beliau pada jam kira-kira 12 tengahari waktu Malaysia. Wajah anak beliau dapat kita saksikan dalam facebook beliau terutama pada raka-rakan terdekat. Semoga kelahiran cahaya mata ini akan menambahkan lagi keceriaan dalam rumah tangga dan limpahan rezeki yang banyak dari Allah SWT.

Thursday, March 3, 2011

KEJOHANAN MERENTAS DESA SK LIMBUAK 2011



3 MAC 2011

Untuk ketiga kalinya, SK Limbuak telah mengadakan Kejohanan Merentas Desa seperti tahun-tahun yang sudah. Kejohanan kali ini disertai beberapa buah sekolah seperti SK Padang, Sk Karakit, SK Laksian, SK Sabur, dan sekolah kita sendiri disamping tuan rumah. Kejohanan kali ini menyaksikan temasya yang gemilang apabila tuan rumah telah menjemput Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, YB Datuk Jahid Jahim untuk merasmikan kejohanan dengan dihadiri juga oleh YB Abd Mijul Hj Unaini dan beberapa orang lagi kepimpinan negeri Sabah.

Apa yang menggembirakan,penyertaan sekolah kali ini tidak sia-sia apabila kesemua 10 peserta sekolah kita berjaya mendapat tempat dari 1-20 bagi kedua-dua kategori. Paling cemerlang adalah Mohd Ruslee Saiduna yang mendapat tempat ke-3 dan Haslizah Hercules tempat ke-2. Manakala yang lain berjaya mendapat hadiah saguhati berupa trofi dan hamper. Kejohanan kali ini memberi perangsang kepada pihak sekolah untuk menghantar lebih ramai atlet mendapat tempat dalam acara jarak jauh. Peserta sekolah ; Mohd Ruslee, Maslan Ali Osman, Arman Alban, Halifatul Muslimin, Jainuddin Annuar, Haslizah, Jusitah Sadan, Halizah Eyong, Fatin Farhana dan Darnie Isnirin.

Friday, February 25, 2011

SK BATU LAYAR JOHAN SEPANDUK 2011


25 FEBRUARI 2011

Bertempat di dewan Kg Limbuak, sambutan maulidur Rasul peringkat daerah kecil Banggi telah berlangsung seawal pagi jumaat. Perarakan bermula dari Simpang Tamu Limbuak sehingga sampai ke dewan tersebut kira-kira 2 KM lebih dengan diketuai oleh YB Abd Mijul Hj Unaini ADUN N1 Banggi dan disertai oleh beberapa kampung,jabatan/NGO dan anak-anak sekolah.

Seperti kelaziman di tahun-tahun sebelumnya, pertandingan sepanduk dan kontinjen pasti diadakan. Sekali lagi sekolah kita menyertai pertandingan yang diadakan selepas menyertainya pada tahun lepas. Dan pada kali ini sepanduk sekolah telah berjaya merangkul kejuaraan buat kali pertama selepas tahun 2006 di mana sekolah menjadi johan. Tahniah diucapkan kepada guru dan staf sekolah yang bertungkus lumus menyiapkan sepanduk tersebut.

Dalam kategori yang lain pula, Kg. batu Layar menjadi naib johan dan JHEAINS merupakan johan bagi kategori masing-masing.

Tuesday, February 22, 2011

MAJLIS PERPISAHAN DAN PERTEMUAN

21 FEBRUARI 2011

Setiap pertemuan dan perpisahan dan yang patah tumbuh kembali. Sempena dengan itu, satu majlis khas diadakan bagi meraikan kedatangan beberapa guru baru ke SK Batu Layar iaitu Cikgu Sabahiah, Cikgu Jaafar dan guru jQAF baru Ust Rosman. Perpisahan yang dirai pula adalah berama Cik Marnie yang telah menjalani praktikal selama hampir 3 bulan di sekolah ini.

Di samping itu, majlis tersebut juga adalah untuk meraikan hari lahir beberapa orang guru yang disambut pada bulan Januari dan Februari ini iaitu Guru Besar, Ustz Duratul, Cikgu Sabahiah dan Cikgu Jumat. Semoga dimurahkan rezeki dan sselamat datang kepada guru baru dan selamat menjalankan tugas dan tanggungjawab di SK Batu Layar Banggi.

Saturday, January 29, 2011

CERAMAH PERGIGIAN


17 JANUARI 2011

Seperti kebiasaan, pihak Klinik Pergigian Karakit telah bertandang ke sekolah untuk proses pemeriksaan gigi yang turut melibatkan proses mencabut, menampal dan membersih gigi pelajar. Mereka akan berada di sekolah selama 2 minggu sehingga kesemua pelajar mendapat khidmat pergigian yang sewajarnya.

Pasukan pergigian yang diketuai oleh Encik Denis Mulizab dan Cik Justina telah menyajikan pelajar pada hari pertama pelajar dengan ceramah kesihatan gigi yang disampaikan sendiri oleh Encik Denis. Dalam ceramah tersebut, pelajar ditunjukkan cara memberus gigi, kesan tidak menjaga gigi dan pemberian berus dan ubat gigi percuma kepada pelajar tahun satu.

Thursday, January 27, 2011

2011 BERMULA

Permulaan 2011 Sk Batu Layar disambut dengan penenggelaman sekolah sehingga hampir 3 kaki. Para pelajar baru tahun 1 dan guru-guru terpaksa mengharungi banjir yang sudah hampir 4 kali melanda sekolah. Pada awal 4 Januari lalu sekolah telah dilawati oleh Penolong PPD Datu Akdan yang kebetulan masa itu berlaku banjir pertama. Ini menampakkan bahawa sekolah ini amat memerlukan bantuan terutama dari segi tempat pejalan kaki sepanjang blok kabin kerana lumpur menyukarkan pergerakan harian di sekolah.

Sekolah telah kehilangan guru Pra iaitu Cikgu Noraslinda kerana beliau telah berpindah ke negeri asalnya Perak. Walaubagaimanapun, perpindahan tersebut disambut dengan kedatangan guru baru yang lama iaitu Cikgu Sabahiah Abd Karim yang sebelum ini bertugas di SK Lok Tuhog. Semoga tahun 2011 akan memberi kerahmatan dan kelapangan kepada sekolah ini sehingga menjadi sekolah terbaik di Banggi dengan pertambahan pelajar seramai 174 orang.